Tuesday, April 12, 2016

TEKS UCAPAN PROGRAM JALINAN KASIH TAUTAN UKHUWAH

TEKS UCAPAN
PENGARAH
KOLEJ KOMUNITI NIBONG TEBAL
SEMPENA PROGRAM
JALINAN KASIH TAUTAN UKHUWAH
BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM.
Yang dihormati puan pengerusi majlis,
Pengetua-pengetua sekolah, Daerah Seberang Perai, Pulau Pinang  Wakil-wakil Pengetua,
Mudir-mudir,
Pengerusi-pengerusi Masjid,
Pegawai-Pegawai Kanan Kolej Komuniti Nibong Tebal,
Barisan Pensyarah dan Pelajar Kolej Komuniti yang dikasihi,
Tuan-tuan dan Puan-puan,  serta sidang hadirin yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam  Sehati Sejiwa.
_______________________________________________________
Alhamdulillah, saya mengucapkan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izinNya, kita dapat berkumpul pada hari ini bagi menjayakan program Hari Terbuka Kolej Komuniti Nibong Tebal. Tema kita pada hari ini, ‘Jalinan Kasih Tautan Ukhuwah’ dengan jelas menerangkan tujuan asal kita dalam merealisasikan program ini, iaitu untuk menjalinkan hubungan dua hala dengan insititusi-institusi dan agensi-agensi di samping mengeratkan lagi hubungan sedia ada dengan komuniti setempat.

Saya dengan berbesar hati, mengucapkan selamat datang kepada para hadirin sekalian khasnya para jemputan,  dan terima kasih atas kesudian tuan-tuan memeriahkan program pada hari ini. Dalam keadaan cuaca panas terik begini, dengan pertembungan El Nino dan Equinoks, tuan-tuan dan puan-puan sanggup berpanas mendengar maklumat-maklumat yang akan saya kongsi mengenai Kolej Komuniti Nibong Tebal, dan sama-sama memikirkan apakah strategi yang boleh kita rancangkan, bagi memaksimakan impaks yang boleh kita perolehi dari hubungan 2 hala ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan kami anggap sebagai satu penghormatan bagi pihak kami dan sekali lagi kami ucapkan ribuan terima kasih.


Hadirin yang saya muliakan,
Sebagai sebuah institusi pengajian, kami mempunyai misi dan visi ke arah membudayakan pembelajaran kepada masyarakat, khasnya komuniti setempat di sepanjang hidup mereka. Kejayaan bagi institusi ini adalah apabila klien kami bersemangat untuk belajar sesuatu yang baharu, mahupun menambahbaik pengetahuan sedia ada tanpa meletakkan faktor usia sebagai kekangan dalam menuntut ilmu. Melalui jalinan ukhuwwah ini, kami dapat melebar luaskan lagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh kolej komuniti kepada masyarakat.

Seperti yang kita sedia maklum, kolej komuniti menawarkan pendidikan berasaskan konsep pembelajaran sepanjang hayat yang fleksibel. Saya yakin bahawa, ramai di antara institusi yang ada pada hari ini, telahpun melibatkan diri dengan kursus-kursus yang kami tawarkan. Kami berharap agar kursus-kursus yang kami tawarkan pada tahun ini akan mendapat sambutan yang lebih baik lagi. Untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, sijil kursus pendek yang pihak kolej komuniti keluarkan sehingga kini, telah digunakan untuk pelbagai tujuan dalam pembangunan diri peserta kursus termasuklah sebagai sokongan dalam memohon pekerjaan, memohon ke institusi dan memohon pinjaman-pinjaman perniagaan.

Selain daripada perkhidmatan kepada masyarakat dalam bentuk kursus pembelajaran sepanjang hayat yang fleksibel, kolej komuniti juga menawarkan kursus-kursus kemahiran yang melibatkan pengajian sepenuh masa. Di sini kami menawarkan kursus Sijil Kulinari, iaitu satu cabang seni masakan yang sangat diperlukan di pasaran pekerjaan. Di sini, pelajar akan dilatih selama 4 semester termasuk 1 semester latihan industri. Hasil daripada latihan yang mantap ini, pelajar-pelajar kami begitu kompeten dan mampu bersaing dengan pelajar-pelajar bidang kulinari dari institusi-institusi swasta. Sehingga kini, KKNT telah mempunyai 98 orang pelajar termasuk sebahagiannya sedang menjalani latihan industri. Kita juga telah mempunyai  31 orang pelajar yang telahpun menamatkan pengajian dan telah mendapat pekerjaan.

Hadirin yang saya muliakan,
Melihat kepada apa yang dapat kami tawarkan kepada komuniti dan agensi, serta manfaat yang boleh kami dapati dari komuniti dan agensi, kami merasakan bahawa langkah yang terbaik adalah memaksimakan manfaat yang boleh kita kongsikan bersama. Kami berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak institusi, agensi dan komuniti dengan pengamalan konsep menang-menang. Pihak agensi dan komuniti boleh mendapatkan khidmat kami iaitu penawaran kursus-kursus dalam pelbagai bidang dengan harga yang sangat berpatutan, sementara pihak kami pula boleh mendapat manfaat dari pihak agensi melalui bilangan kehadiran peserta kursus yang sememangnya menjadi KPI kepada setiap kolej. Selain itu, kami juga dapat menggunakan kepakaran pihak tuan dalam bidang-bidang tertentu yang tidak dapat kami tawarkan. Sekiranya pihak tuan-puan mempunyai cadangan kursus yang bersesuaian dan berhasrat menggunakan fasiliti di kolej komuniti, sila maklumkan kepada pihak kami. Kami akan menjadikannya kursus pendek dan tuan-tuan tidak perlu membayar sewaan bilik dan peralatan. Alhamdulillah, sehingga kini, pihak kolej telah mempunyai kolaborasi strategik bersama beberapa rakan industri dan agensi seperti           Hotel Seri Malaysia, Kulim dan Brahim’s Airline Catering Sdn. Bhd.
(Fotografi – Kulim)
(Manufacturing – KK Kepala Batas)
(Automotif – Kepala Batas)
(Jahitan – BM)

Hadirin yang saya muliakan,
Menyedari betapa pentingnya nilai keusahawanan dipupuk pada diri setiap pelajar, pihak Kolej Komuniti Malaysia telah menubuhkan satu sub-ordinat yang dikenali sebagai Pusat Keusahawanan Kolej komuniti, atau lebih dikenali sebagai PUSKOM. Puskom adalah satu unit yang berfungsi melatih para pelajar ilmu keusahawanan dan melahirkan pelajar yang mahir selok-belok perniagaan. Kami bukan sekadar melatih pelajar secara teori, malah kami juga memberi khidmat nasihat kepada mereka sehingga ke peringkat menubuhkan syarikat-syarikat milik mereka sendiri. Melalui program-program seperti yang kita adakan pada hari ini, kami melatih dan mengasah bakat keusahawanan pelajar melalui penjualan produk-produk makanan hasilan pelajar dan barangan-barangan di gerai-gerai kecil seperti yang dapat anda lihat pada hari ini.  Alhamdulillah, melalui khidmat nasihat pegawai Keusahawanan Kolej Komuniti, 3 buah syarikat telah berjaya ditubuhkan iaitu Sweet Fairy Enterprise (perniagaan pengurusan majlis), Classic SHYA Food Frozen Enterprise (perniagaan makanan sejuk beku) dan Hantaf Enterprise (perniagaan makanan barat/cafe). Hantaf Enterprise beroperasi di Etech Centre, Kolej Komuniti Nibong Tebal bermula jam 3.00 petang sehingga jam11.00 malam.

Hadirin yang saya muliakan,
Setelah hampir 8 tahun KKNT beroperasi, kami telah mendapat beberapa pengiktirafan yang penting dalam aspek pengukuhan insititusi iaitu Akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi kursus Sijil Kulinari yang kami tawarkan. Selain itu, institusi ini juga telah mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Pengendali Makanan, dimana kami menawarkan latihan pengendalian makanan kepada premis perniagaan makanan dan pekerja-pekerja pengendali makanan. Pengiktirafan ini dianugerahi oleh Biro Kawalan dan Keselamatan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi pelajar pula, Kolej Komuniti Nibong Tebal telah menubuhkan pasukan Brisk – IM4U yang berfungsi menanam nilai  murni kesukarelawanan. Kini, Kolej Komuniti Nibong Tebal telah menjadi Hub Kesukarelaan bagi komuniti daerah Simpang Empat, Sebarang Perai Selatan.

(Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan memerlukan tenaga sukarelawan, hubungi kami. Sekiranya ada kesempatan masa, tidak terhalang dengan aktiviti lain, InsyaAllah pihak kami boleh membantu. Cuma keluarkan sijil penghargaan kepada pelajar dan pensyarah pengiring, buat kenduri minum pagi dan makan tengahari. Kalau ada peruntukan lebih, bolehlah bagi hadiah T’shirt ke..)

Hadirin yang saya muliakan,
Sijil Pengiktirafan merupakan aset yang penting kepada pelajar kulinari untuk bersaing di dunia luar dalam bidang perniagaan dan pekerjaan. Pihak kolej menitik beratkan aspek ini sebagai elemen pembangunan diri pelajar. Justeru, pada setiap kejohanan dan pertandingan yang diadakan oleh pihak luar, KKNT tidak melepaskan peluang untuk menghantar peserta dalam kalangan pelajar. Pada Januari yang lepas, pelajar KKNT telah menyertai Penang International Halal Chef Challenge 2016. Alhamdulillah, pelajar-pelajar kita telah mendapat anugerah yang agak memberansangkan iaitu 1 Perak, 5 Gangsa dan 8 Diploma. Pada tahun lepas kita juga telah membawa pelajar menyertai Thailand’s International Culinary Cup 2015 dan mereka telah berjaya membawa pulang 2 pingat Perak. Pada tahun lepas juga, pelajar kita telah menyertai Pertandingan Kemahiran Kolej Komuniti dan membawa pulang 1 Pingat Perak dan 1 Pingat Gangsa. Mereka juga telah menyertai Asian Cullinary Challenge 2015 dengan membawa pulang 1 pingat gangsa, 1 Diploma dan 2 Sijil. Dalam arena pertandingan keusahawanan, pelajar kita juga telah menjadi Johan permainan Catur Bestari. Di sini jelas bahawa para pelajar kita yang merupakan slow learner di peringkat sekolah dahulu dan tidak berkelayakan untuk menyambung pelajaran di universiti, sebenarnya memiliki jati diri yang tinggi dan kemampuan yang setaraf dengan chef-chef di peringkat antarabangsa. Apa yang penting, kita perlu memberi peluang, kepercayaan dan pemikiran yang positif kepada mereka bahawa mereka juga mampu melakukan yang terbaik. Pemikiran seperti ini adalah pencetus kepada jati diri dan kekuatan yang diperlukan untuk para pelajar bersaing di luar sana. ‘Tidak penting di mana anda bermula, yang penting dimana anda berakhir’. Begitulah ungkapan yang sering dilaungkan olek Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Dato’ Amir bin Mohd Noor yang begitu menjadi inspirasi kepada warga pendidik Kolej Komuniti Nibong Tebal.

Hadirin yang saya muliakan,
Sebagai mengakhiri bicara, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada jawatan kuasa kerja atas usaha gigih mereka untuk merealisasikan program ini. Terima kasih kepada para Ahli Jawatan Kuasa kerja yang terlibat. Usaha anda sangat bermakna kepada kolej komuniti dan komuniti setempat.

Bicara sudah dipenghujung,
Khabar dan maklumat sudah disampai. Namun begitu, tidak lengkap majlis selagi tidak sempurna lafaz. Justeru, dengan penuh takzim dan diiringi kalimat mulia, bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Program Hari Terbuka Kolej Komuniti Nibong Tebal 2016 ini.
Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.                                           


TEKS UCAPAN MAJLIS KKNT APPRECIATION NIGHT DINNER 2016

TEKS UCAPAN
PENGARAH
KOLEJ KOMUNITI NIBONG TEBAL
SEMPENA MAJLIS
KKNT APPRECIATION NIGHT DINNER 2016

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan Salam Sehati sejiwa,

Yang di hormati, Ketua Jabatan Kolej Komuniti Nibong Tebal, Puan Norzifazura Dziyauddin.

Pegawai Hal Ehwal Pelajar, Cik Nur Ili Shamimi binti Jamal Nasir, Pegawai Pengambilan, Puan Syahida Abu Bakar,

para pensyarah, para pelajar dan hadirin yang saya kasihi sekalian.

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, kita dapat berkumpul pada malam ini untuk menjayakan KKNT Appreciation Night Dinner 2016.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada jawatan kuasa kerja atas usaha gigih tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk merealisasikan program ini. Saya telah dimaklumkan mengenai perancangan program ini semasa mesyuarat pengurusan yang lepas. Sehinggalah ke hari ini, persediaan program telah dilakukan dengan begitu lama. Terima kasih kepada para AJK yang terlibat. Usaha anda sangat bermakna kepada seluruh warga kolej komuniti.

Program pada malam ini bertujuan untuk memberi penghargaan kepada para pelajar yang telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik, serta penglibatan  dalam aktiviti pelajar di KKNT. Sepanjang berada di KKNT, para pelajar semua telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dalaman kolej dan juga aktiviti jemputan dari luar kolej. Boleh jadi para pelajar semua menganggap bahawa aktivit ini disertai bagi mengasah bakat yang ada pada diri kamu, menimba pengalaman sebelum memasuki alam pekerjaan dan mendapatkan sijil-sijil penyertaan untuk masa depan. Akan tetapi, di pihak pengurusan kolej pula, kami amat menghargai segala penglibatan ini, kerana secara tidak langsung, kejayaan yang kamu bawa pulang ini telah mengharumkan nama kolej komuniti kepada pihak luar. Inilah yang dimaksudkan sebagai serampang 2 mata atau dalam peribahasa Inggerisnya, mereka sebut sebagai ‘Kill two birds with one stone’. Membuat satu perkara tetapi mendapat banyak manfaat selepasnya. Terima kasih sekali lagi atas sumbangan yang kamu berikan.

Para pelajar sekalian,
Umi ingin mengingatkan kepada para pelajar yang akan menjalani Latihan Industri, bahawa kamu sekalian akan berada di agensi-agensi dan syarikat-syarikat yang sudah lama bertapak di negara ini. Syarikat-syarikat ini sudah memiliki pekerja-pekerja tetapnya sendiri yang sudah lama bekerja dan begitu mahir dengan kerja mereka. Penerimaan mereka untuk mengambil kamu sebagai pelatih adalah sesuatu yang amat dihargai di pihak pengurusan KKNT. Ini kerana, ada banyak syarikat yang tidak mahu memberi kerjasama kepada pihak kolej dalam memberi latihan kepada pelajar-pelajar kita.

Justeru, pihak kolej amat mengharapkan agar para pelajar sekalian menghargai penerimaan ini dengan melakukan setiap tugasan yang diberi secara bersungguh-sungguh. Cuba pelajari setiap selok-belok pekerjaan yang ada di syarikat dan jangan sekali-kali malu bertanya. Sentiasa berwajah manis dan merendah diri dengan pada pekerja yang ada di sana. Sesungguhnya, hukum memperolehi ilmu itu hanyalah dengan merendah diri kepada mereka-mereka yang memberikan ilmu. Ilmu itu umpama air yang mengalir dari tempat tinggi ke lembah, kamu tidak akan memperolehinya sekiranya berada di tempat yang lebih tinggi darinya. Tiada cara lain, melainkan kamu harus berada di bahagian yang lebih rendah untuk menadahnya.

Para pelajar sekalian,
Kamu akan menghadapi pelbagai ragam manusia pabila kamu berada di luar sana. Janganlah kamu cepat melatah. Hadapilah manusia dengan sebaik-baiknya iaitu dengan sabar. Hanya apabila kita bersabar, maka Allah SWT akan sentiasa menyertai kita. Sememangnya ragam manusia itu berbagai. Ini semua adalah ujian kepada kamu agar kamu menjadi manusia yang lebih matang dan kuat.

Di kesempatan ini, Umi ingin mengingatkan, setelah kamu bekerja nanti, janganlah lupa para pensyarah kamu di sini. Kamu akan pergi jauh mengikut aturan takdir kamu, dari satu tahap ke satu tahap yang lain, mecapai kejayaan demi kejayaan. Namun, para pensyarah kamu di sini, mereka akan tetap di sini, mencurahkan ilmu tanpa henti dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain. Datanglah ke sini menjenguk mereka. Mereka akan sangat seronok melihat kamu dan berbangga mendengar kejayaan-kejayaan kamu. Bukan mereka nak menumpang kejayaan kamu itu. Mereka gembira kerana kamu telah menjadi seorang insan yang lebih baik hasil titik peluh mereka. Datanglah kembali melihat kami di sini. KKNT akan sentiasa menghargai mantan warganya. Umi juga ingin mengucapkan tahniah kepada para penerima anugerah pada malam ini beserta doa agar kamu sekalian akan terus maju jaya dalam apa sahaja bidang yang kamu ceburi.

Kepada para pansyarah sekalian, tahniah saya ucapkan. Anda telah mendidik dan membimbing pelajar dengan begitu baik sekali. Tanpa anda sekalian, kolej ini tidak akam mampu beroperasi sehingga ke tahap ini. Sesungguhnya, hasil yang baik ini tidaklah dapat dicapai dengan cara yang mudah. Semoga usaha anda ini menjadi satu kebajikan di sisi Allah dan Allah jugalah sebaik-baik pemberi balasan.

Sekian,  
Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.                                           


Saturday, November 8, 2014

TEKS UCAPAN PENGERUSI PROGRAM AOSIS KEPIMPINAN PRS


PROGRAM OASIS KEPIMPINAN PRS IPT KEBANGSAAN 2013

______________________________________________

 

TEKS UCAPAN

PENGERUSI PROGRAM

TUAN HJ ABDUL LATIF BIN AHMAD

KOLEJ KOMUNITI KEPALA BATAS

______________________________________________

 

 

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum W.B.T, Selamat  sejahtera dan Salam 1 Malaysia saudara/i pengacara majlis,

 

Yang Berbahagia (Perasmi Majlis :_______________________),

 

Jawatan Kuasa Pelaksana Program Oasis Kepimpinan PRS IPT Kebangsaan 2013.

 

Pengarah-Pengarah Kolej Komuniti, Kementerian Pelajaran

Ketua-ketua Jabatan, Para Jemputan, Pensyarah-pensyarah, pelajar-pelajar seterusnya  para hadirin dan hadirat yang saya kasihi sekalian.

 

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kasih dan rahmatNya, kita dapat menjayakan Program Oasis Kepimpinan PRS IPT Kebangsaan 2013. Saya merasa amat bersyukur dan berterima kasih, kepada Jabatan Pengajian Kolej Komuniti kerana memberi kepercayaan kepada Kolej Komuniti Kepala Batas, sebagai tuan rumah kepada satu acara peringkat kebangsaan ini.

Di hari yang indah ini, saya mewakili Kolej Komuniti Kepala Batas, mengucapkan selamat datang kepada semua yang hadir dalam program kita, pada hari ini. Kami juga amat bersyukur kerana telah berjaya mendapatkan  lokasi yang begitu strategik, iaitu berhampiran dengan pantai. Seperti yang dapat tuan-tuan lihat, suasana di luar begitu indah, dengan hembusan bayu laut yang nyaman dan pantai yang memutih. Suasana begini benar-benar sesuai dengan tema program kita yang memerlukan ketenangan untuk bertafakur bagi mengenali diri, memahami keperluan-keperluan diri, memikirkan kembali matlamat hidup kita dan memikir bagaimana caranya mahu  membantu rakan-rakan yang lain.

 

Dari masa ke semasa, kita dapat melihat yang pelajar-pelajar kita berkemampuan untuk duduk sebaris dengan pelajar-pelajar insititusi pengajian tinggi awam yang lain. Pelajar-pelajar kita dapat menguasai teknologi komunikasi sepantas pelajar lain, dapat memahami dan mengaplikasi pelbagai bidang, terutamanya yang memerlukan penggunaan perisian terkini, pelajar-pelajar kita mampu memahami teknologi elektrik, teknologi pembuatan, lukisan berbantukan komputer dan lain-lain. Namun, apabila kita membawa mereka ke pertandingan-pertandingan yang melibatkan seluruh IPT, pelajar kita mengalah. Bukan kerana mereka kurang mampu, tetapi kerana mereka kurang keyakinan diri apabila berhadapan pelajar politeknik dan universiti yang kelihatan lebih berwibawa.

 

Di sinilah saya melihat, betapa pentingnya program-program yang berbentuk penerokaan diri, mengenali diri, pembinaan jati diri dan  kemahiran komunikasi untuk disampaikan kepada pelajar-pelajar kita. Pelajar yang benar-benar mengenali dirinya, akan mengetahui matlamat hidupnya. Mereka akan melangkah menuju ke satu arah yang akan betul dalam kehidupan mereka. Mereka juga tidak mudah terpengaruh dengan godaan-godaan ke arah perbuatan tidak bermoral. Mereka juga dapat memberi manfaat dan membantu teman-teman sekolej untuk meneruskan perjuangan sebagai seorang pelajar.

 

Keperluan mendalami kemahiran berkomunikasi akan dapat membantu para pelajar menghadapi persaingan yang sengit  dalam dunia pekerjaan. Ketidakmampuan berkomunikasi dan menyampai maklumat dengan lancar dan yakin akan menyekat para pelajar untuk pergi lebih jauh dalam kerjaya masing-masing. Justeru. program ini dapat membantu para pelajar sekalian, membina kemahiran komunikasi yang betul, sekaligus menjadikan diri lebih berketerampilan dan berkeyakinan.

 

Besar harapan saya agar para pelajar, dapat memanfaatkan ilmu-ilmu yang telah disampaikan ini untuk membina jati diri masing-masing, di samping menyampaikannya kepada rakan-rakan di kolej komuniti yang begitu memerlukan input-input seperti ini untuk membina diri mereka juga. Pengalaman seperti ini bukanlah mudah untuk diperolehi. Anda sekelian adalah insan-insan terpilih untuk menerima amanah sebagai pembimbing Rakan Siswa, mudah-mudahan anda diberi kekuatan untuk meneruskan misi PRS ini di kolej komuniti masing-masing.

 

Di kesempatan ini saya ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada pihak JPKK yang telah berusaha meneruskan program PRS ini dengan wajah baru, bermula tahun 2012. Program ini yang dahulunya dikanali sebagai PRS2K adalah merupakan acara tahunan, yang telah berjaya melahirkan ramai Pembimbing Rakan Siswa di kalangan para pesertanya.

 

Tidak dilupakan juga kepada ahli Jawatan kuasa pelaksana dari Kolej Komuniti Wilayah utara yang telah bertungkus lumus berusaha sehingga berjaya merealisasikan program yang gilang gemilang ini. Mudah-mudahan usaha yang murni ini akan mendapatkan keberkatan dari Allah SWT.

 

 

Kepada para hadirin yang sudi hadir memeriahkan majlis, sokongan yang anda berikan amat kami hargai dan kami dahulukan dengan ucapan terima kasih.

 

Sekian ucapan dari saya, wabillahitaufiqwalhidayah

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

 

 

TEKS UCAPAN AOSIS KEPIMPINAN PRS


PROGRAM OASIS KEPIMPINAN PRS IPT KEBANGSAAN 2013

______________________________________________

 

TEKS UCAPAN

KETUA PENGARAH

JABATAN PENGAJIAN KOLEJ KOMUNITI

KEMENTERIAN PELAJARAN

______________________________________________

 

 

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum W.B.T, Selamat  sejahtera dan Salam 1 Malaysia saudara/i pengacara majlis,

 

Yang Berusaha Tn Haji Abdul Latif bin Ahmad, Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Kementerian Pelajaran.

 

Pengerusi Jawatan Kuasa Pelaksana Program Oasis Kepimpinan PRS IPT Kebangsaan 2013.

 

Pengarah-Pengarah Kolej Komuniti, Kementerian Pelajaran

Ketua-ketua Jabatan, Para Jemputan, Pensyarah-pensyarah, pelajar-pelajar seterusnya  para hadirin dan hadirat yang saya kasihi sekalian.

 

 

Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan syukur  ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya kita berjaya mengadakan Program Oasis Kepimpinan PRS IPT Kebangsaan 2013. Saya percaya, program ini amat bermakna kepada sekalian yang hadir khasnya para pelajar yang terpilih mengambil bahagian pada hari ini.

 

Program Oasis PRS IPT Kebangsaan 2013 ini adalah siri yang kedua, selepas siri pertama dilancarkan pada tahun lepas. Ia adalah merupakan kesinambungan daripada program PRS2K yang dahulunya diadakan sebagai aktiviti tahunan bagi Unit Kaunseling Kolej Komuniti. Kini, ia disambung semula di bawah Unit Psikologi dan Kerjaya di kolej komuniti seluruh Malaysia. Kandungan program telah mengalami banyak perubahan dan penambahbaikan, sejajar dengan era teknologi yang semakin pesat. Namun matlamatnya adalah sama, iaitu untuk mendedahkan para pelajar sebagai pembimbing dalam membina pasukan PRS yang terlatih, dalam usaha membantu diri sendiri dan rakan-rakan siswa di kolej masing-masing.

 

Program ini merupakan tempat pertemuan pelajar-pelajar dari kolej komuniti seluruh Malaysia, untuk berkenal-kenalan dan bertukar-tukar pandangan selain mempelajari satu bidang ilmu baharu, ilmu psikologi dan kaunseling, yang dapat dijadikan panduan dalam menjalani hidup sebagai seorang pelajar, merangkap Pembimbing Rakan Siswa di kolej komuniti masing-masing.

 

Saya telah meneliti buku program dan mendapati program ini sarat dengan slot-slot berjudul menarik, yang telah disusun sebegitu rapi sebagai pengisian program. Saya yakin, apabila pelajar-pelajar pulang nanti, dada-dada pelajar disarati dengan bidang ilmu baharu, yang bukan sahaja dapat digunakan dalam komunikasi interpersonal bersama rakan sekolej, malah juga dapat dimanfaatkan sebagai panduan dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

 

Bak kata pepatah Inggeris:  A journey of a thousand miles begin with a single step. Kejayaan bagi sesuatu yang besar bermula dari pemerhatian ke atas perkara yang kecil dan dianggap remeh. Seorang pemimpin yang berjaya memimpin satu barisan kepimpinan negara juga adalah sebenarnya seorang yang begitu mengambil berat tentang pembinaan diri dan keluarganya. Justeru, mempelajari sesuatu yang dianggap peribadi, seperti meneroka dan mengenal diri adalah asas kepada penerokaan perkara lain yang lebih besar. Seseorang pelajar yang tidak mengenali dirinya sendiri akan mudah terjebak ke dunia ikut-ikutan. Bermula dari mengikut kawan, kemudiannya mengikut trend sehinggalah ke kancah yang lebih buruk lagi. Dalam program ini, anda akan dibantu untuk meneroka diri anda sendiri, mengenali kekuatan dan kelemahan diri dan membina fokus terhadap matlamat yang ingin dicapai. Pengetahuan dan latihan seperti ini adalah penting dalam usaha membina jati diri yang cemerlang di kalangan pelajar.

 

Golongan remaja adalah yang paling banyak dikaitkan dengan masalah sosial. Pada umur ini jiwa remaja begitu rapuh dan mudah terjebak dengan pelbagai gejala sosial. Kekurangan pengetahuan mengenai psikologi remaja di kalangan ibu-bapa dan masyarakat merupakan satu punca para remaja mencari alternatif lain bagi mengekspresi perasaan mereka. Inilah merupakan punca utama mereka terjebak dengan perlakuan yang tidak bermoral. Sekiranya pelajar-pelajar dapat menguasai ilmu komunikasi bersama kumpulan sasaran yang terdiri dari kalangan rakan-rakan, pelajar-pelajar mampu meyakini kumpulan ini untuk mengekspresikan perasaan mereka dengan cara yang positif.

 

Kajian mendapati bahawa seorang ramaja tidak boleh hidup bersendirian kerana bagi mereka ‘lone ranger’ adalah menakutkan. Jika kelompok kawan-kawan tidak mahu menerima mereka, bermakna hidup mereka akan terasing. Pengaruh kasih sayang antara remaja dan kawan-kawan cukup kuat. Tidak hairanlah seorang remaja sanggup mengikut apa sahaja yang dilakukan kawan-kawannya asal dapat diterima . Bagi orang dewasa, perlakuan ini menunjukkan ketidak matangan. Tetapi, bagi seorang remaja, perlakuan ini adalah survival untuk terus diterima oleh kawan-kawannya. Justeru, kelompok pembimbing rakan sebaya ini adalah jawapan kepada usaha untuk membimbing teman-teman ke arah perkembangan positif, sekaligus mengelakkan remaja terjebak dalam kancah yang tidak bermoral.

Yang kurik itu kendi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

 

Selama 2 hari anda di sini, anda akan dididik untuk membina nilai-nilai positif yang semakin terhakis di zaman siber ini. Para ustaz akan menyampaikan kuliah subuh mengenai ‘Kejujuran dalam Bersahabat’, satu nilai yang semakin luntur sejak manusia lebih senang berkawan dengan teman-teman dalam laman sosial berbanding teman sekuliah. Selain itu, tajuk mengenai ‘Kasih Sayang’, satu lagi nilai yang semakin sirna, pada zaman di mana nilai manusia terletak pada material yang dimilikinya. Selain itu anda juga akan dibimbing dalam tajuk mengenai ‘Ikhlas Membantu’, satu tajuk yang begitu penting untuk disampaikan pada  zaman manusia mengharap pada balasan dalam setiap apa yang mereka lakukan. Saya dapat lihat betapa bertuahnya anda sekalian, yang akan pulang membawa berbagai-bagai pengalaman beserta pemahaman nilai seperti ini.

 

‘Manis bicara indah tutur kata, manis kalimah pengikat ukhuwah’

Sebelum para pelajar pulang dan memulakan langkah sebagai pembimbing rakan siswa, pelajar perlulah terlebih dahulu memantapkan kemahiran komunikasi. Dalam menyampaikan sesuatu kebaikan, kita perlu melakukannya dengan penuh berhikmah, iaitu penyampaian perlu menarik, tutur kata perlu bersopan, pandai mengambil hati dan sebagainya. Dalam program ini, terdapat slot-slot pembentangan dan slot-slot khas di bawah tajuk komunikasi dan asas kaunseling yang boleh anda jadikan panduan untuk melatih diri berkomunikasi. Saya juga difahamkan yang pelajar-pelajar dilatih berkomunikasi  dalam program ‘Sukarelawan Asas PRS’ yang mana pelajar dikehendaki berjumpa dan menemu ramah mangsa-mangsa Tsunami di Kuala Muda, Kedah. Walaupun sudah agak lama perkara itu berlaku, temuramah masih lagi boleh dilakukan. Apa yang penting, anda semua dapat mempelajari teknik Outreach dan menghadapi orang luar dengan cara yang berkesan. Melalui latihan komunikasi seperti ini, panyampaian anda lebih berkesan dalam membantu  rakan-rakan di kolej masing-masing.

 

Saya amat berharap agar persahabatan di kalangan anda, peserta program Oasis Kepimpinan PRS ini akan berkekalan walapun setelah anda semua kembali ke kolej masing-masing. Persahabatan ini adalah penting dan menjadi kesinambungan kepada semangat yang anda kutip dalam 2 hari ini akan berkekalan. Dengan cara ini juga, anda akan memiliki semangat juang yang mampu bertahan lebih  lama. Saya mencadangkan agar diwujudkan ‘Group Rakan PRS Kolej komuniti di laman sosial Facebook. Dengan cara ini, anda boleh terus berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan mengenai sesuatu permasalahan.

 

Alhamdulillah, dalam kesempatan ini saya ingin memanjangkan ucapan tahniah kepada KKKB yang telah berjaya menganjurkan program berperingkat kebangsaan seperti ini, di satu kawasan yang begitu nyaman dan tenang, dengan tiupan bayu  Pantai Merdeka. Saya berharap agar program seperti ini dapat kita jadikan acara tahunan wajib sekaligus dapat melahirkan lebih ramai pasukan PRS yang berkemampuan membantu unit psikologi dan kerjaya dalam menggerakkan aktiviti di kolej masing-masing

 

Ucapan tahniah dan terima kasih saya ucapkan khas kepada jawatan kuasa kerja yang telah bertungkus-lumus menjadikan program yang kita rancang ini satu realiti. Usaha dan komitmen yang anda curahkan bagi menjayakan program ini telah memberikan kebaikan yang banyak kepada semua pihak yang hadir pada hari ini. Mudah-mudahan usaha anda ini mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.

 

Bagi melengkapkan lagi majlis pada hari yang berbahagia ini, dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim dan saya dengan sukacitanya menyempurnakan majlis perasmian dan penutup program oasis kepimpinan prs ipt kebangsaan 2013 ini.

 

Sekian, Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

TEKS UCAPAN KP SEMPENA PROGRAM SEMINAR KEBANGSAAN HEP


 

TEKS UCAPAN

KETUA PENGARAH

JARATAN PENGAJIAN KOLEJ KOMUNITI

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

 

 

 

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum W.B.T, Selamat  sejahtera dan Salam 1 Malaysia saudara/I pengacara majlis,

 

Yang Berusaha Tn Haji Abdul Latif bin Ahmad, Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

 

Pengerusi Jawatan Kuasa Pelaksana Program Seminar Kebangsaan HEP 2012.

 

Pengarah-Pengarah Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Ketua-ketua Jabatan, Panel-panel Jemputan, Pensyarah-pensyarah, pelajar-pelajar seterusnya  para hadirin dan hadirat yang saya kasihi sekalian.

 

 

Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan syukur  ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya kita berjaya merealisasikan Program Seminar Kebangsaan Hal Ehwal Pelajar ini. Saya percaya, program ini amat bermakna kepada sekalian yang hadir khasnya para pembentang kertas kajian yang mengambil bahagian pada hari ini.

 

          Pada hari ini kita dapat menyaksikan pembentangan kertas kajian dan sorotan ilmiah dalam pelbagai topik dan isu berkaitan dengan hal ehwal pelajar. Kajian dan sorotan ilmiah ini telah dijalankan dengan bersungguh-sungguh mengikut garis panduan pembentangan metodologi kajian yang diguna pakai di peringkat IPTA di Malaysia. Aplikasi kaedah ini adalah penting bagi memastikan kesahihan keputusan yang diperolehi sekaligus memastikan hasil kajian ini relevan untuk dijadikan rujukan dalam merangka dasar-dasar yang berkaitan dengan kolej komuniti. Namun begitu, kajian ini telah dikecilkan skopnya kepada ‘enviroment’ kolej komuniti sahaja. Syarat ini adalah penting bagi memastikan bahawa isu yang diketengahkan adalah benar-benar spesifik dan berkaitan Hal Ehwal Pelajar Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

 

Kajian ilmiah adalah satu budaya yang diamalkan di peringkat universiti dan kini telah dikembangkan di peringkat politeknik dan kolej komuniti. Budaya ini adalah satu yang positif dan patut sekali dijadikan amalan dalam setiap insititusi yang berada di bawah payung KPTM. Menjalankan kajian akan memperluaskan pengetahuan setiap pendidik dan memantapkan skil dan cara pendidik berkenaan berurusan dan menyampaikan ilmu kepada pelajarnya. Pendidik yang tidak menjalankan kajian akan memiliki ilmu yang jauh ketinggalan dan tidak lagi relevan pada masa kini.

 

Isu-isu Hal Ehwal Pelajar adalah isu-isu yang berkaitan dengan aspek disiplin, pembangunan sahsiah, kebajikan pelajar, psikologi, penyalahgunaan dadah, kerjaya, pengurusan HEP dan kokurikulum. Isu-isu ini begitu banyak dan pelbagai. Sebagai sebuah institusi yang mempunyai klien di kalangan pelajar tercicir, pelajar berisiko dan pelajar di kalangan komuniti setempat, kita tidak dapat lari dari membicarakan mengenai pelbagai masalah berkaitan dengan pembangunan diri pelajar-pelajar ini yang mempunyai pelbagai latar belakang keluarga dan tahap pendidikan. Memberi ilmu dan mendidik golongan ini adalah satu usaha yang begitu terpuji dan bernilai tinggi di sisi agama. Namun begitu, untuk mendidik golongan pelajar tercicir dan berisiko bukanlah mudah. Setiap pendidik perlu memiliki ilmu psikologi dan kemahiran sosial yang tinggi.  Pelajar-pelajar remaja dari golongn ini perlu didekati dan ditawan hati mereka terlebih dahulu sebelum usaha-usaha pembentukan jati diri dilakukan. Justeru, kita wajar memiliki ilmu yang mantap dan pendekatan pegagogi yang benar-benar menepati keperluan klien seperti golongan pelajar ini.

 

Selain itu, pengkajian juga adalah perlu terutamanya mengenai  masalah disiplin yang melibatkan unsur hedonism dan penyalahgunaan dadah. Walaupun bilangan pengguna dadah di IPT terlalu kecil sehingga telah diistiharkan sebagai sifar namun untuk merasa selesa dengan hakikat ini adalah tidak wajar. Ini kerana dalam kalangan pelajar berisiko ini, mereka mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk terjebak dengan salah laku melibatkan gejala dadah ini. Justeru, satu kajian perlu dilakukan untuk mengenalpasti program-program yang sesuai untuk membina jati diri mereka agar mempunyai kekuatan untuk menangkis gejala negatif dari rakan sebaya.

 

Hala tuju pelajar dan kerjaya juga adalah satu aspek yang penting dan memerlukan pengkajian yang rapi. Walaupun kita mempunyai satu unit khas ‘tracer study’ namun pengkajian amat digalakkan terutamanya bagi mencari satu mekanisme yang paling mantap dalam menjejak pelajar-pelajar kita yang telahpun meninggalkan kolej komuniti. Kita tidak mahu pelajar kolej ini tercicir dari arus perdana dan terlepas peluang-peluang pekerjaan dan pendidikan yang menjanjikan masa depan yang cemerlang.

 

Dalam mencapat matlamat melahirkan graduan berilmu dan berkemahiran menjelang wawasan 2020, kajian-kajian bagi mendalami bidang-bidang pengkhususan juga adalah penting untuk diadakan. Pengkajian mengenai kaedah pembelajaran yang terkini dan sesuai dengan keperluan setiap bidang yang ditawarkan di kolej komuniti adalah penting bagi menambah baik kaedah pengajaran berteraskan ‘hands-on’ yang diamalkan di kolej komuniti. Ini kerana, perkembangan teknologi terkini banyak mempengaruhi kaedah-kaedah kerja di industri dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pembelajaran bidang-bidang berkaitan industri dan teknikal yang ditawarkan di kolej komuniti. Berteras kepentingan-kepentingan inilah KPTM menggariskan keperluan-keperluan mengadakan kajian dan sorotan ilmiah sebagai salah satu daripada keperluan kriteria kenaikan pangkat di Institusi Latihan Kemahiran Awam.

 

Pada hari yang berbahagia ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan Kolej Komuniti Kepala Batas kerana telah berjaya mengadakan Program Seminar Kebangsaan Hal Ehwal Pelajar ini dan saya berharap agar program seperti ini dapat kita jadikan acara tahunan wajib sekaligus dapat melahirkan lebih ramai akademia yang mampu menjalankan kajian-kajian yang bermutu tinggi.

 

Ucapan tahniah dan terima kasih saya ucapkan khas kepada jawatan kuasa kerja yang telah bertungkus-lumus menjadikan program yang kita rancang ini satu realiti. Usaha dan komitmen yang anda curahkan bagi menjayakan program ini telah memberikan kebaikan yang banyak kepada semua pihak yang hadir pada hari ini. Mudah-mudahan usaha anda ini mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.

 

Bagi melengkapkan lagi majlis pada hari yang berbahagia ini, dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim dan saya dengan sukacitanya dengan menyempurnakankan majlis perasmian dan penutup Seminar Kebangsaan Hal Ehwal Pelajar 2012 ini.

 

Sekian, Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

 

 

 

 

 

 

TEKS UCAPAN SEMPENA PROGRAM SEMINAR KEBANGSAAN HEP 2012


 

TEKS UCAPAN

 

ENCIK ISHANUDDIN BIN HUSSIN

PENGARAH BAHAGIAN KEBAJIKAN PELAJAR

JABATAN PENGAJIAN KOLEJ KOMUNITI

 

SEMPENA PROGRAM SEMINAR KEBANGSAAN HEP 2012

 

 

 

Bismillahirrahmanirrahim,

 

Assalamualaikum W.B.T, Selamat  sejahtera dan Salam 1 Malaysia saudara/I pengacara majlis,

 

Yang Berbahagia (Perasmi Majlis :_______________________),

 

Tn Haji Abd Latif bin Ahmad, Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

 

Pengerusi Jawatan Kuasa Pelaksana Program Seminar Kebangsaan Hal Ehwal Pelajar 2012

 

Pengarah-Pengarah Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia,

Ketua-ketua Jabatan, Panel-panel Jemputan, Pensyarah-pensyarah seterusnya  para  Pelajar Kolej Komuniti yang saya kasihi sekalian.

 

Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya kita dapat menjayakan Program Seminar Kebangsaan Hal Ehwal Pelajar 2012 yang diadakan di Hotel Park Avenue pada hari ini.

 

Sebagaimana yang kita maklum, pada hari ini kita mengadakan satu program yang amat penting kepada kita semua, warga pendidik dan pihak pengurusan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Program ini adalah merupakan satu wadah yang kita tawarkan kepada para kakitangan kolej komuniti yang mengambil bahagian untuk membentangkan hasil kajian dan sorotan ilmiah yang telah mereka jalankan sebelum ini. Pembentangan ini bukanlah sekadar memenuhi kriteria kenaikan pangkat semata-mata, malah lebih merupakan perkongsian maklumat yang relevan dan penting untuk dimanfaatkan sebagai pencetus idea dalam sebarang aktiviti sumbang saran yang selalu kita jalankan semasa merangka sesuatu perancangan aktiviti di kolej komuniti.

 

Kajian-kajian dan sorotan ilmiah berkenaan topik dan isu Hal Ehwal Pelajar adalah maklumat yang amat penting yang sewajarnya diambil peduli oleh semua kakitangan di kolej komuniti. Ini adalah kerana, sebagai satu institusi yang bertanggungjawab membangunkan jati diri dan kemahiran anak bangsa yang tercicir dan berisiko, kakitangan kolej komuniti terutamanya para pendidik perlu mempunyai pengetahuan sedia ada yang mantap  mengenai golongan pelajar ini. Kebanyakan mereka adalah merupakan golongan remaja dari pelbagai latar belakang dan budaya. Melihat kepada perkembangan teknologi maklumat yang begitu pantas dewasa kini, para pendidik sewajarnya mempunyai maklumat yang cukup luas bagi menghadapi golongan pelajar kini yang jauh terkehadapan dan dilingkari dengan pelbagai rencah hidup alam remaja. Tanpa pengetahuan yang mencukupi, para pendidik sukar menyelami dan memahami permasalahan yang melanda generasi Y ini. Pendidik yang mantap ilmu di dada pasti sekali dapat menambat hati para pelajar ini dan faktor ini amat membantu dalam pembangunan jati diri pelajar-pelajar di kolej komuniti.

 

Pada hari yang berbahagia ini, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua yang sudi hadir memeriahkan program pada hari ini. Kehadiran tuan-puan amat bermakna bagi pihak penganjur yang telah bertungkus lumus menyediakan yang terbaik untuk majlis pada hari ini. Kehadiran anda juga merupakan terjemahan kepada sokongan padu ke atas perancangan yang telah diatur sekian lama di peringkat pusat. Kami berharap agar para hadirin merasa selesa, berpuas hati dan dapat mengutip segala curahan ilmu yang telah disampaikan semasa pembentangan tadi.

 

Saya ingin mengucapkan tahinah kepada pihak tuan rumah iaitu Kolej Komuniti Kepala Batas kerana telah menyempurnakan program ini dengan jayanya. Tidak dilupakan juga kepada barisan jawatan kuasa kerja yang telah berusaha menyusun dan mengatur program ini sehingga menghasilkan program yang cukup mantap dan sesuai dengan tajuknya yang bersifat intelektual. Semoga usah kalian memberi manfaat kepada manusia akan mendapat keberkatan dan keredaan di sisi Allah SWT.

 

Sekian, wabillahitaufiq wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi  wabarakatuh.